Assalamualaikum wbt.
Terdapat 15 pintu masuk yang menjadi laluan mudah syaitan untuk menggoda manusia. Laluan tersebut adalah:
1. Kejahilan
Diri tanpa ilmu atau tidak memiliki ilmu yang sewajarnya dipelajari seperti ilmu agama.
2. Kemarahan
Sebuah hadith oleh Bukhari daripada Abu Hurairah r.a menceritakan telah datang seorang lelaki
bertemu Rasulullah s.a.w dan berkata, "Wahai Rasulullah, berwasiatlah kepadaku". Berkata Rasulullah
kemudiannya, "Janganlah kamu marah". Dan Rasulullah s.a.w mengulanginya beberapa kali.
3. Mencintai dunia
Bermegah-megah dengan kekayaan, harta dan anak-pinak tidak ubah seperti petani yang berbangga
dengan tanaman dan sayur-sayuran tanpa sedar suatu ketika nanti tanaman itu akan kering, layu dan mati.
4. Berangan-angan
Manusia yang suka berangan-angan tanpa usaha mencapai kejayaan dan peningkatan diri memudahkan
syaitan menggoda supaya hidup bermalas-malasan dan tidak mahu berusaha.
5. Tamak haloba
Orang yang tamak, tidak cukup dengan apa yang ada dan ingin menjadikan milik orang sebagai milik
sendiri dengan mudah digoda melalukan sesuatu yang dimurkai Allah.
6. Bakhil (Kedekut)
Orang kedekut yang tidak mahu membayar zakat, tidak membantu orang yang memerlukan bantuan dan
bimbang akan jatuh miskin apabila bersedekah mudah digoda syaitan agar tidak membuat kebajikan.
7. Takbur (Sombong), riak dan bangga diri
Sifat ini sangat dimurkai Allah. Pada suatu ketika, Rasulullah s.a.w bertanya kepada sekumpulan
sahabat, "Tahukah kamu orang gila yang sebenar-benarnya?" Para sahabat menjawab, "Tidak tahu ya
Rasulullah". Lalu Rasulullah s.a.w menjelaskan, "Orang gila ialah orang yang berjalan dengan takbur,
memandang rendah kepada orang lain, sombong, mengharapkan syurga sambil melakukan maksiat serta
kejahatannya membuatkan orang lain tidak aman manakala kebaikannya tidak pernah diharapkan. Itulah
orang gila yang sebenarnya".
Hadis oleh Muslim dari Ibnu Mas'ud, Rasulullah s.a.w berkata, "Tidak akan masuk syurga barang siapa
yang dalam hati terdapat kesombongan walau sebesar zarah".
8. Gemar mendapat pujian
Ramai orang yang suka dengan pujian tanpa menyedari terlalu banyak pujian akan membuatkan
seseorang itu lupa diri. Sesungguhnya yang hanya dipuji ialah Allah dan bukan sesama manusia.
9. Keluh kesah dan resah gelisah
Kita diingatkan usah terlalu gembira apabila memperolehi satu-satu nikmat dan bersedih apabila
kehilangan nikmat itu.
10. Mengikut hawa nafsu
Sesiapa yang terpedaya atau terlalu mengikut hawa nafsu, mereka akan terkeluar dari jalan yang
diredhai Allah. Mereka ini akan sesat dan mendapat azab yang berat di akhirat kelak.
11. Buruk sangka
Sifat ini boleh menyebabkan perselisihan faham sehingga berpecah belah dan bermusuhan. Allah tidak
suka tetapi syaitan menyukainya. Hadith dari Abu Hurairah r.a Rasulullah s.a.w berkata, "Aku
peringatkan kamu daripada prasangka sesungguhnya prasangka itu adalah bisikan yang paling bohong.
Dan janganlah kamu mencari-cari rahsia (kelemahan, keaiban dan keburukan saudaranya), janganlah
merasa-rasakan (yang bukan-bukan), janganlah kamu melakukan pertengkaran, janganlah berhasad
dengki, janganlah saling membenci, janganlah membelakangkan (saudara seagamu). Dan jadilah kamu
hamba Allah yang bersaudara".
12. Memandang rendah orang lain
Allah mengingatkan dalam surah al-Hujurat ayat 11 supaya janganlah merendah-rendahkan orang lain
kerana mungkin orang yang mereka rendahkan itu lebih baik. Dan janganlah suka mencela dirimu sendiri
dan usah memanggil dengan gelaran yang berupa ejekan.
13. Memandang remeh terhadap dosa-dosa
Orang yang suka membangga diri akan memandang remeh dosa-dosa yang dilakukan dengan
menganggapnya seperti angin lalu. Hadith oleh Al-Bukhari, Rasulullah s.a.w berkata, "Orang yang jahat
akan melihat dosa-dosanya seperti lalat yang hinggap di hidungnya dan mereka mengibaskan tangan
untuk menghalaunya. Tetapi seorang mukmin melihat dosa-dosanya bagaikan duduk di bawah kaki
gunung yang sedia menimpanya".
Perkara ini jelas digambarkan melalui hadith oleh Ibnu Majah, Rasulullah s.a.w berkata, "Sesiapa yang
melakukan satu dosa akan tumbuh pada hatinya setitik hitam, sekiranya dia bertaubat akan terhakislah
titik hitam itu dari hatinya. Jika dia tidak bertaubat, titik hitam itu akan terus merebak hingga seluruh
hatinya menjadi hitam".
14. Berasa damai menerima azab Allah
Tidak mengambil ikhtibar ke atas azab yang Allah turunkan ketika di dunia.
15. Berputus asa dari rahmat Allah