Wednesday, August 27, 2014

Malaysia bukan nama familyku....


Assalamualaikum wbt. 


Lagi beberapa hari Malaysia akan menyambut Hari Kemerdekaan yang ke-57. Ini bermakna dah beberapa hari jugaklah ibu membebel memandangkan Jalur Gemilang masih belum berkibar di halaman rumah. Ini situasi biasa kat rumah bila masuk bulan Ogos. Abang aku akan buat perangai buat-buat busy dia sampai tak sempat nak pacak bendera yang ambil masa tak sampai 10 minit manakala aku hanya jadi pemerhati bebas. Yeah, kita bertindak hanya bila perlu je, kan?hehe Sudahnya ibu yang keluarkan bendera dari almari, gantung pada batang kayu dan letak di luar rumah. Kini tinggal tunggu abang aku yang tolong ikatkan pada pagar di depan rumah. Ah ibu memang macam tu. Dah biasa dengan tahap kemalasan anak-anak dia. Selagi tak ada yang initiate memang satu kerja pun takkan bergerak.


Tapi sambutan kemerdekaan kali aku percaya ada sedikit berbeza. Harga kemerdekaan negara di usia 57 tahun ini begitu mahal sekali. Kehilangan MH370 dan MH17 tidak terhitung nilainya. Walau tiada ahli keluarga aku yang terlibat tapi berita kedua-duanya masih mampu mengusik tangkai hati. Kalau tak masakan aku boleh bantai menangis beriya-iya pada hari ke-3 kehilangan MH370  dilaporkan. Seingat aku, kali terakhir aku menangis kat atas sejadah masa tahun ke dua kat UKM. Itu pun sebab aku tak dapat jawab paper Pharmacology. Choii, nak fail baru ingat Tuhan! Dan untuk MH17 tak perlu tunggu berhari-hari, setiap kali berita tu keluar kat TV memang tak pernah gagal mengundang air di telaga mata. Hati pasti tersentuh setiap kali nama Malaysia diulang sebut. MALAYSIA Airlines. Rakyat Malaysia. Kerajaan Malaysia. Dibawa pulang ke Malaysia. (kalau aku pun, biarlah mati kat bumi mana tapi memang nak pulang ke Malaysia!). Dan semuanya MALAYSIA. Malaysia. Malaysia. Malaysia. Selama ni aku memang tak sedar yang aku sayangkan Malaysia sampailah negara diuji begini. 


Aku juga tak tau dari mana lahirnya perasaan patriotik ni. Takkan sebab masa SPM dulu aku selalu skor subjek Sejarah buat aku jadi sampai macam ni? Aku study pasal nak pass exam je kot.
Hakikatnya inilah hasil dari bebelan dan tingkah ibu. Dalam diam dia banyak mengajar kitorang sayangkan negara yang aku pun tak sedar selama ini. Hampir tiap-tiap tahun dia tak pernah gagal memaksa kitorang pasang bendera. Update segala macam program termasuk konsert ambang merdeka (yang famous sambutannya suatu ketika dulu). Yes, walaupun konsert memang bertentangan dengan konsep Islam (sebab tu dah tak ada sekarang ni. Alhamdulillah) tapi ibu lebih tau. Siapa artis jemputan konsert kat KLCC, Dataran Merdeka, dataran Maybank, dataran Shah Alam, semua dia tau. Mungkin ini je cara nak tarik minat anak dia untuk faham betapa pentingnya sambutan kemerdekaan negara. Malam pulak bagai dipaksa tengok TV untuk dengar laungan merdeka. Kang tepat 12 tengah malam dia dulu mengintai dari cermin tingkap untuk tengok bunga api. Haha. Tu lah Ibu aku. Excited betul. Time sekolah dulu, bulan-bulan ni je la homeworknya lain dari biasa. Colour bendera Malaysia untuk gantung kat kelas. Ibu suka la tengok aku buat homework macam ni. Aku??? Macam nak mampuih kena colour helaian bendera yang berjela-jela tu. Paling malas nak colour part warna biru tu. Nak ngelak dari terkena bintang 14 bucu tuuuuuuu, azab! Lagi-lagi kalau dikenakan syarat ‘sila guna water colour atau crayon’. Gilo apa!


Sekarang semua tu dah tak ada. Cuma bebelan dan ingatan ibu je yang masih sama. Tak kurang pun. So no wonder la walaupun Malaysia tu bukan nama family aku, tapi tetap istimewa. Sangat istimewa, di mata dan di hati. Semoga generasi hari ini (termasuk aku!) masih ada semangat untuk kibarkan Jalur Gemilang sebab sedikit demi sedikit rasa sayang itu pasti datang. Dan pada masa itu kita akan belajar memahami erti KEMERDEKAAN.




Aku Darah Anak Malaysia,
Sarah

No comments:

Post a Comment