Tuesday, February 11, 2014

Bila Anak Demam, Apa Nak Buat?

Assalamualaikum wbt.
 
 
Apa yang paling ditakuti bila suhu badan terlalu tinggi adalah serangan sawan. Febrile fit mudah terjadi pada bayi dan kanak-kanak apabila suhu badan mencecah 40⁰C. Berikut adalah langkah-langkah yang boleh di lakukan di rumah dalam mengawal suhu badan anak-anak yang demam.
 
 
 
#1 Tanggalkan sweater
 
Pakaian tebal seperti jaket atau baju sejuk tidak perlu dipakai ketika demam (walaupun badan menggigil kesejukkan) kerana ini akan menyebabkan haba dalam badan tidak dapat dibebas keluar. Haba panas yang terperangkap akan menyebabkan suhu badan terus meningkat. Ini antara sebab mengapa demam anak anda tak kebah-kebah walaupun telah mengambil ubat (paracetamol/panadol). Selain daripada baju sejuk, stokin dan sarung tangan juga perlu ditanggalkan.
 
#2 Mandi
 
Mandi lebih kerap ketika demam digalakkan. Air adalah konduktor haba yang baik, jadi mandikanlah anak anda supaya suhu panas tu boleh pergi bersama air yang mengalir tuh (ceh, ayat nak sastera je!). Tapi memang betul! Tak payah sibuk nak fikir guna air panas atau sejuk. Gunakan air paip biasa tu je. Tak payah mandi lama-lama pun. 5 minit cukup. Basahkan dari hujung kepala ke hujung kaki. Selepas mandi tak perlu lap badan sehingga kering. Cukup sekadar balut anak dengan tuala kering untuk elakkan hypothermia. Bila dah kering sendiri, barulah pakaikan baju.
 
#3 Penggunaan tuala basah
 
Tuam dengan tuala basah. Kaedah ni telah digunakan berkurun dulu oleh tok nenek kita. Dan ini memang berkesan. Maknanya tok nenek kita pun tau yang air ni memang konduktor haba yang baik. Bahagian yang mampu berkesan dengan baik untuk menurunkan suhu badan adalah di bahagian ketiak dan kepala. Jadi selepas mengambil langkah 1 dan 2 tadi, sekarang tidurkanlah anak anda dengan meletakkan tuala basah di kedua-dua bahagian tersebut.

Cool fever? Aku tak percaya pada cool fever (my personal opinion). Cara tradisional menggunakan tuala basah lebih berkesan. Oppps, tuala tu tak perlu diperah sangat. Biar betul-betul basah!
 
 
Langkah-langkah ini tidak bermaksud anda boleh mengabaikan pengambilan ubat. Paracetamol masih perlu diambil seperti biasa. Sekiranya demam anak anda tinggi, dibolehkan mengambilnya dengan kekerapan 4 jam sekali.
 
Selain febrile fit, dehydrated atau kekurangan air dalam badan juga menjadi perkara yang perlu diberi perhatian terutama jika terdapat simptom muntah dan cirit-birit. Pengambilan air perlu lebih banyak dari biasa terutama dalam kes-kes demam yang disebabkan virus seperti denggi. Bibir dan lidah kering, kurang buang air kecil, menangis tanpa air mata dan kadar denyutan nadi yang laju antara simptom kekurangan air dalam badan. Jika berlaku, sila dapat rawatan dengan segera.
 
 
 

No comments:

Post a Comment